Marlina, Si Pembunuh dalam Empat Babak (2017): neo-Western gaya Nusantara

7:46 PTG



MARLINA Si Pembunuh dalam Empat Babak (atau judul antarabangsanya, Marlina the Murderer in Four Acts) ialah sebuah filem Indonesia yang sudah lama aku nantikan tayangannya di Malaysia sejak menonton trailer-nya di Youtube beberapa bulan terdahulu. Gambarnya menjanjikan dan sebagai peminat warna dalam gambar, Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak (akan menyebutkannya sebagai Marlina sahaja selepas ini), sangat ditunggu-tunggu


Marlina bergerak dalam babak-babak terpecah empat; 1) perompakan, 2) perjalanan, 3) pengakuan dan 4) kelahiran. Dalam empat babak besar ini, Marlina (dilakonkan Marsha Timothy) pada mulanya diragut kewanitannya malah dicuri haiwan-haiwan ternakannya oleh Markus (Egi Fedly) dan konco-konconya sehingga memaksa Marlina membela dirinya sendiri dengan memenggal kepala daripada badan Markus, dan kepala tersebut dibawa tanpa dibalut sebagai tahanan  ke balai polis. Dalam perjalanan tersebut, Marlina bertemu Novi (Dea Panendra) yang berdiri teguh dengan perutnya yang hamil lebih 9 bulan, melindungi setiap tindakan Marlina.

Teknik memecahkan acts dalam naskhah ini bukan sahaja menerbitkan judul filemnya yang unik, tetapi juga dapat dibayangkan sebagai satu kitaran yang mengakar dalam budaya hidup wanita-wanita malang seperti Marlina dan kitaran itu diwarisi secara temurun. Marlina muncul sebagai tokoh yang tampil berani membunuh kitaran tersebut. 



Marlina, sosok perempuan berani yang tidak perlu hidup berkalang simpati. Filem ini menghidangkan segala-galanya yang aku mahu alami dalam sinema; warna yang khusus (aku buntu bagaimana mahu mengeksresikan dengan kata-kata betapa jatuh cintanya aku dengan warna Marlina!); juga gambar ala-Western yang unik sekali bagi sinema Nusantara dan runut bunyi dengan skor bunyi-bunyi tempatan yang tenteram dan nyaman, meskipun ceritanya tidak begitu. Satu paradoks yang menjanjikan.

Dari sudut pemaparan visual, filem ini menghidangkan keindahan gambar yang diidam mata, memanfaatkan layar lebar dengan imejan panorama pergunungan ala savana, debu-debu dan rerumput kering. Syot matahari terbit dan terbenam juga syot lalang melambai pada babak awal antara yang menangkap indera pandang.

Kerja kamera dalam filem ini menyenangkan kerana lebih banyak menampilkan syot statik dan membebaskan peran dan objek di sekeliling bergerak dalam bingkai, menjadikan filem ini a feel good movie about murder. Babak Markus tiba di rumah Marlina dan memberitahu bahawa Marlina akan dirompak dan ditiduri enam lelaki pada sebelah malamnya berlaku tenang dan bersahaja tetapi kita sebagai penonton faham ada gejolak sedang berlaku. Rasa resah dan tegang menyerbu sinema tanpa dipaksa-paksa.

90 minit kita dihidangkan dengan keindahan Pulau Sumba dan kekayaan budaya dan adat resamnya. Usaha sutradara dan penerbit mengangkat budaya Sumba (yang aku fikir tidak lazim dalam radar pengetahuan orang Indonesia sendiri apatah lagi di luar Indonesia) wajar diberikan mata brownie. 



Sedikit-sedikit kita belajar mengapa Marlina tidak mengebumikan mayat suaminya yang diam semacam mumia di dalam rumah, juga tentang budaya makan sirih orang Sumba ketika Markus meminta dihidangkan sirih daripada Marlina (sangat Nusantara ya budaya makan sirih ni). Oh ya, warna merah jambu tipis kering merekah pada bibir Marlina memang ditatariaskan begitu, kerana begitulah efek makan sirih, menampakkan imej Sumba di wajah Marsha Timothy tampak begitu menyakinkan dan realistik sekali (selain oles dandan sawo matang eksotik pada wajahnya).

Sebagai pemerhati linguistik, dialek Sumba juga sesuatu yang baharu di telinga aku. Ada beberapa pola morfologi dalam pembentukan kata-katanya dan air lagu menarik yang dapat aku perhatikan dalam pertuturan watak. Menarik jika dapat dibuatkan penyelidikan lapangan.

Debu-debu kering, pergunungan ala savana dan kuda ditunggang Marlina apabila dia terpaksa ditinggalkan bas (?) dalam perjalanan ke balai polis mengingatkan aku kepada filem-filem neo-Western seperti No Country for Old Men (2007) dan Hell or High Water (2016) di Amerika Syarikat. Malah temanya juga hampir serupa, filem crime Western selalunya tidak terlepas daripada adegan kejar-mengejar dan pembunuhan, cuma Marlina lebih feminis dan dan filem-filem neo-Western selalunya lebih maskulin.

Di tangan seorang 'bidan' bernama Mouly Surya, Marlina dilahirkan sebagai subgenre baru sinema Asia Tenggara yang disebutkan sebagai genre Satay Western.

Marlina bukan juga sekadar memancung kepala perogolnya, tetapi juga memancung dominasi patriarki lelaki yang meliar dalam hidupnya. Marlina berani menyatakan, hanya perempuan yang dapat mengadili dirinya sendiri, seberani dia mengendong telanjang kepala Markus dan membawanya kepada penguasa (tetapi tidak begitu dilayani kerana polisi sibuk bermain ping pong dan laporannya tidak diladeni secara wajar-- satu kritik sosial yang menjentik).

Marlina juga membuktikan tidak perlu berada di kota besar, berpendidikan tinggi dan punya Twitter untuk menyatakan pendirian dan sikap. Cukup menjadi feminis dengan hanya meracuni lelaki-lelaki yang ingin berbuat khianat kepadanya dari dapur-- ruang mutlak seorang perempuan untuk membuat keputusan besar dalam hidupnya-- apatah lagi melibatkan nyawa dan keselamatan dirinya.

Selain direncatkan dengan potongan adegan-adegan tertentu (yang penting) oleh LPF, Marlina sebuah filem yang menyenangkan untuk ditonton dan tidak berlebihan kalau aku katakan, Marlina masuk dalam senarai filem Indonesia yang aku jatuh cinta. 


*Ditonton di GSC Pavilion bersama dua rakan baik saya, Sayha Rosli dan Wafa Awla.

You Might Also Like

2 ulasan