mother! (2017): Membaca Tanda Ibunda

6:52 PTG



ADA dua magnet yang menarik kuat ke bangku pawagam menonton mother! (ya, anda tidak salah membacanya; 'm' dengan huruf kecil dan tanda seru -- kerana begitulah 'semangat' yang ingin disalurkan filem ini). Dua magnet tersebut ialah Jennifer Lawrence dan Javier Bardem, kedua-duanya pemilik Oscar.

I mean, siapa tidak suka JLaw? Aktres dengan bayaran tertinggi Hollywood, bukan sahaja cantik, berkaliber malah masuk dalam senarai A-List. Javier Bardem, saya mula minati lakonannya sejak No Country for Old Men (filem Western kegemaran saya sepanjang zaman), watak psikopat Anton yang maha gila, diingati oleh sesiapa sahaja.

Tetapi bersandar kepada dua magnet ini sahaja tidak cukup untuk membuatkan saya menyukai mother!. Kedua-dua magnet ini dalam filem berdurasi 120 minit (tepat) ini memposisi kutub yang berlainan. Kedua-dua watak saling menarik dan menolak dalam masa yang sama.

Filem ini berkisah tentang sepasang suami isteri, tinggal dalam sebuah rumah agam (menarik, sebuah rumah tiga tingkat yang semacam terbina sendiri, tiada jalan ke arah keluar apatah lagi jalan pergi, hanya rerumput segar dan tiada peti surat tipikal luar rumah). Kehidupan mereka berubah dengan kehadiran tetamu tidak diundang, seorang demi seorang sehingga mencetus kasus yang menggegerkan, gempita, dan memusnahkan rumah mereka (dan keluarga mereka) secara total.

Filem Darren Aronofsky ini hakikatnya, bukan untuk semua. Filem ini ialah sebuah alegori tentang bumi dan semestanya. Dalam beberapa temu bual yang saya tonton di YouTube, JLaw sangat tidak betah memberitahu penonton dan pengacara "it's (the film) about Mother Earth!"



Akibat mulut gatal JLaw, filem ini (separa) tidak seronok untuk ditonton. Kita terlalu cepat membaca tanda-tanda dalam mother!. Sebaik sahaja watak Michelle Pfeiffer dan suaminya menjatuhkan permata keramat milik Javier, lekas terlintas dalam kepala "okay, Adam dan Hawa" dan permata keramat Javier ialah buah khuldi (forbidden fruit dalam kepercayaan Bible).

Dua jam mother! berjalan, kita lekas membaca tanda; JLaw ialah bumi/Mother Earth, Javier ialah Tuhan/suatu kuasa superior, Ed Harris ialah Adam, Pfeiffer- Hawa, bayi- Jesus dan bermacam tanda lagi yang hampir kesemuanya mempunyai rujukan langsung dengan kisah-kisah dalam kitab Injil; Taman Edan secara spesifiknya.

Akibat mulut 'laju' JLaw juga, mother! semacam mengehadkan interpretasi. Walhal mother! boleh berkisah tentang apa sahaja atau mother! boleh sahaja ditanggapi secara literal tanpa membaca subteksnya, anggap filem ini ialah realisme magis penuh absurd tanpa perlu kita baca tanda-tanda metaforanya.

Membaca (atau menonton) alegori sebenarnya menuntut daya semiotik yang tinggi; malangnya ada bahagian yang tidak kena dengan tatabingkai mother!. Semacam ada garis putus antara penanda--watak--signifier dengan petanda--simbol--signified kalau menurut sistem tanda saranan Pierce.

Ini melorongkan kepada premis yang cecamerba. Jika benar filem ini bercakap tentang Bumi (disimbolkan oleh JLaw, Javier sebagai that superior being atau Tuhan), mengapa Tuhan dipaparkan sebagai suatu entiti yang pasif berbanding mother (nama watak JLaw yang dikreditkan)? Adakah saranan filem ini hanya "jagalah bumi, kalau tak akan jahanam semacam mana tetamu tak diundang ini musnahkan rumah yang dibina mother" justeru watak-wataknya dilukis secara karikatur bagi rujukan yang ingin dipaparkan?

Hal-hal komikal sebegini menyebabkan mother! tampak longgar. Sebagai sebuah naskhah interteks, mother! boleh digarap dengan lebih kemas sebenarnya, tanpa penonton perlu memahami sistem tanda yang melatari filem ini; tonton dan tanggap secara harfiah tetapi maknanya masih boleh sampai dan interperasinya akan lebih pelbagai dengan premisnya yang lebih jelas.

Kehadiran Kristen Wiig dalam act-3 juga seronok untuk ditonton pada saya (secara peribadi), meskipun kehadiran bintang SNL ini menampakkan filem ini lebih komikal dan surreal, dalam masa yang sama.

Susah untuk saya menyukai mother! walaupun saya suka lakonan cemerlang JLaw di dalamnya. Walau bagaimanapun, 'mata brownie' harus dikreditkan kepada kerja kameranya yang kemas, garapan kamera dalam mother! sangat berfokus justeru kita sedar filem ini sepenuhnya dari POV siapa.



Masih ada beberapa bahagian yang seronok ditonton jika subteks tatabingkainya dapat dibaca dengan baik. Misalnya, babak di mana Pfeiffer pertama kali sampai di rumah misalnya, ketiga-tiga watak (mother, man dan woman) berada di ruang bawah rumah dan Javier sebagai kononnya Tuhan memandang dari atas, ini semiotik jelas untuk menggambarkan Tuhan-atas dan makhluk-bawah.

Keseluruhannya, mother! bukanlah naskhah kegemaran ramai. Sebagai sebuah alegori, 'lukisan' mother! ialah sebuah lukisan yang gelap, dan mempunyai terlalu banyak tanda yang harus diteka dan ditertawa dalam masa yang sama.

5/10. Ditonton di GSC Mid Valley Megamall. 

You Might Also Like

0 ulasan